Saturday, 31 May 2014

P.E.M.I.M.P.I.N



Rasulullah s.a.w bersabda:”setiap orang di antaramu adalah pemimpin 

dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, 
seorang imam adalah pemimpin atas umatnya, dan dia bertanggungjawab 
atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarganya. 
(H.R. Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi ).


Hebatnya Kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh



Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, “…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

        Sultan Muhammad Al-Fateh dididik oleh dua orang ulama, iaitu As-Syaikh Syamsuddin Al-Wali dan As-Syaikh Al-Bayram. Walaupun tidak berstatus ulama, tetapi Sultan Muhammad Al-Fateh amat patuh kepada Allah SWT, sehingga sejarah membuktikan bahawa beliau merupakan salah seorang tokoh politik yang bertaqwa kepada Allah SWT.

        Ketika penaklukan Konstantin,baginda juga membawa para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.



       Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Karisma Seorang Pemimpin.

       Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku”.


         Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
         Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang bermaksud “pembuka” atau “penakluk” lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Sebaik-baik Raja dan Srbaik-baik Tentera.


        Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!” Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!” Sebahagian daripada tenteranya duduk.
        Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.


Impian + Cita-cita.

       Jauh di sudut hati,kagum dengan cara kepimpinan seorang Sultan yang telah menjadi sebaik-baik raja dan memimpin sebaik-baik tentera.Diri ini juga tidak pernah berhenti berdoa dan menyimpan angan-angan untuk menjadi sebahagian daripada tentera Al-Fateh yang telah gugur syahid demi menegakkan Syiar Islam di mata dunia.

        Sebagai langkah permulaan,Amanah yang diterima di sekolah untuk membantu meringankan kerja murabbi2 membimbing Umat Akhir Zaman akan dipikul dengan sebaik mungkin.Sifat-sifat mahmudah yang ada dalam diri 'Penakluk Konstantin' ini akan cuba dipraktikkan untuk meneruskan wadah perjuangan yang semakin mencabar hari demi hari.

                                                  [ Foto Badan Kepimpinan Pelajar MTSD ]


# Doakan Kejayaan kami dalam menempuh Dunia Kepimpinan ini !! 


''Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Pemimpin pilihan di antara 
kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga 
mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu 
juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin 
yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, 
dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka 
juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah: Apakah kita 
tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda: Jangan menentang mereka 
selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu. ''
(H.R. Muslim)


No comments:

Post a Comment